22.3.10

.: KeLeBihaN aYat KurSi :.



Dalam sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehinggalah Baginda mendengar jawapan salam daripada isterinya. Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu. Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut hadis-hadis:

• Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

• Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir setiap solat Fardhu, dia akan berada dlm lindungan Allah SWT hingga solat yang lain.

• Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir tiap solat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah di sekitarnya.

• Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir tiap-tiap solat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yg benar, pahala nabi-nabi serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

• Barang siapa membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya – mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

• Barang siapa membaca ayat Kursi di akhir solat Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

• Barang siapa yang membaca ayat Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., "Rasulullah S.A.W.bersabda, Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…”

Setiap lelaki dan wanita (khasnya untuk isteri-isteri) yang mengamalkan membaca ayat kursi 7 kali sebelum keluar rumah atau semasa perjalanan ke tempat kerja atau kemana sekalipun kecuali bukan niat melakukan maksiat pada Allah swt maka dia terselamat daripada segala kejahatan yang datang daripada syaitan ,jin dan manusia seperti :

• dikenakan sihir antaranya ubat pengasih (mengasih seseorang tanpa kehendak hatinya), penganiayaan(sakit santau ), penipuan dan sebagainya kerana semua ini ada bersangkutan dengan jin dan syaitan

• terselamat daripada kejahatan seperti kes ragut, rogol ,kecurian.

• dijauhkan daripada malapetaka jalanan seperti ketika memandu, kemalangan jalanraya, tayar pancit dan sebagainya. Semua perlindungan ini adalah datangnya daripada Allah S.W.T atas keyakinan kita padaNya iaitu hikmah kalamnya terhadap mereka yang beriman dan bertaqwa pada Allah swt dan RasulNya Nabi Muhammad saw. Bagi kaum lelaki jangan lupa selepas selesai solat jumaat duduklah sebentar untuk melakukan amalan membaca 7 kali ayat Kursi ini dan 7 kali bagi setiap 3 Qul. Hikmah kelebihanNya banyak bagi mereka yang mengamalkan, insyaAllah

SELAMAT BERAMAL....

.: KeiNdaHaN MeMBaca aL-QuRaN :.



Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar dan utama yang diturunkan oleh Allah kepada nabi kita Muhammad s.a.w.

Ia merupakan petunjuk yang paling baik untuk umat manusia sehingga hari kiamat dalam mencari keredhaan Allah seterusnya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Di antara kelebihan membaca serta menghayati segala isi al-Quran dapat dilihat melalui beberapa petikan hadis nabi s.a.w sebagai pedoman kepada kita semua.

1. Sabda nabi s.a.w "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya"
(muttafaqqun ‘alaihi)

2. Sabda nabi s.a.w "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya(pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa alif laam miim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf"
(diriwayat oleh Tarmizi dan ia merupakan hadis hasan sohih)

3.Sabda nabi s.a.w "Orang yang membaca al-quran dan dia mahir dengannya bersama malaikat yang mulia dan orang yang taat. Sesiapa yang membaca al-Quran sedangkan dia tersekat-sekat padanya dan dia begitu susah atasnya maka baginya 2 pahala (pahala membaca dan pahala kesusahan)"
(Sahih Bukhari dan muslim)

4.Abi Umamah al-Bahili telah berkata bahawa dia mendengar sabda nabi s.a.w yang bermaksud "Kamu hendaklah membaca al-Quran maka sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi ahli-ahlinya"
(Riwayat Muslim)

5. Sabda nabi s.a.w "Sesungguhnya sesiapa yang tidak terdapat pada kerongkongnya sesuatu daripada al-Quran(tidak membaca) maka ia seperti rumah yang usang
(Riwayat Tarmizi)

6. Dalam satu hadis Qudsi di mana sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Allah telah berfirman yang ertinya : "Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiKu daripada meminta-minta kepadaKu maka Aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaKu itu. Dan kelebihan Kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas segala makhlukNya"
 (Riwayat Tarmizi dan hadis hasan sahih)

7. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud "Tiada suatu kaum yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid) membaca kitab Allah (al-Quran) dan tadarus antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisinya"
(Riwayat Muslim)

8. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir telah berkata : Telah keluar Rasulullah s.a.w menemui kami di Suffah maka sabdanya : "Siapakah di kalangan kamu yang suka keluar ke Buthan dan ‘Aqiq (nama 2 tempat di Madinah) di mana dia akan membawa pulang darinya 2 ekor unta yang sihat lagi gemuk tanpa berbuat dosa dan tidak pula memutuskan tali persaudaraan ? Maka kami menjawab : Wahai Rasulullah! Kami semua menyukai perkara itu. Sabdanya : Mengapakah seseorang daripadamu tidak keluar ke masjid untuk belajar atau membaca 2 ayat daripada kitab Allah (al-Quran) maka ia lebih baik daripada 2 ekor unta yang gemuk, tiga ekor, empat ekor di mana lebih baik baginya daripada empat dan daripada semua bilangan unta"
(Riwayat Muslim)

Marilah kita sama-sama membaca al-Quran selagi mana kita masih hidup di dunia ini. Gunakan kesempatan yang diberi oleh-Nya.. Luangkan masa untuk membaca dan menghayatinya.. sangat besar ganjaran yang diperolehi dari-Nya...

.: RaHsia LiMa JaRi :.



Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan disebalik jari yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari kita. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Bukankah ia membayangkan kewajipan solat lima waktu?

Jangan diabaikan peringatan itu. Jika diabaikan seolah-olah kita kehilangan salah satu jari. Pastinya kehilangan itu menjadikan kita tidak sempurna dan banyak nikmat yang terlepas untuk dinikmati.

Jari Kelingking
Bermula dari jari kelingking yang kecil dan kerdil. Ia memberitahu kita bahawa manusia atau apa sahaja makhluk harus bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insani dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan harus bermula daripada kecil. Saat ini ia mengingatkan kita pada usia kanak-kanak. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang pada masa hadapan kelak.

Jari Manis
Pergi pula kepada jari kedua, iaitu jari manis.
Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi apabila disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tidak terkira.
Ketika ini kita di alam remaja. Awas! Di usia ini kita sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan takwa menunjuk jalan kebenaran.
Hari itu, kita sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil kelak.
Persoalannya sekarang, adakah kita ini benar-benar bertanggungjawab? Atau sudahkah kita mengenali tanggungjawab? Atau berpura-pura tidak tahu tentang tanggungjawab? Atau memilih tidak mahu tahu langsung tentang tanggungjawab?

Jari Hantu
Kemudian naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, iaitu jari hantu.
Zaman remaja mula ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat 30-an ini, kebanyakan dari kita telah mempunyai personaliti dan status tersendiri, dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak “hantu pengacau” yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Jika gagal mengawal emosi, lantas akan terus masuk ke perangkap nafsu dan syaitan. Justeru, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Jari Telunjuk
Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan keEsaan Allah s.w.t ketika bersolat.
Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru, pembimbing yang kaya dengan idea bernas dengan minda yang hebat.

Jari Ibu
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan menafsir pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa “cap jempol” atau cap jari.

Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Dengar nasihat mereka. Kemudian menilai pendapat mereka. Sekiranya ia sejajar dengan syariat dan tidak menyimpang dari asas keimanan, maka patuhilah ia.

Nasihat mereka mungkin amat berguna. Dengan nasihat itu pada hari yang mendatang nanti, kita akan berasa bangga dan berkata “good” atau “yes” sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas. Maka itulah rahsia kejayaan kita.

Akhir sekali cuba lihat sekali lagi jari anda kelima-limanya. Renung dan fikirkan dalam-dalam.

“Di manakah kita?” dan “Siapakah kita?”

(^_^)

.: 7 SunNah RasuLuLLaH :.



"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu memanfaatkan hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup lebih panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu untuk berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan".

Kita hendaklah selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca al-Qur'an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama pada waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Talib, "Orang yang selalu berwudhu sentiasa akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Apabila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat dijauhi sehingga jauhlah umat manusia daripada sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

SELAMAT BERAMAL!!!

7.3.10

.: PerHiasaN YanG MenJaDi DaMbaaN :.



"Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat, atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.

Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah wanita. Kalau begitu, boleh memeriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah kita menjadi wanita? Persoalannya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?

Perhiasan adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata. Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah hati apabila melihat perhiasan. Tapi, kenapa tidak semua wanita menyejukkan hati sedangkan ia diciptakan sebagai pelengkap kepada perhiasan dunia dan akhirat? Malah, ada wanita yang menjadi punca kemelut dan kacau bilau. Garis pemisahnya ialah sekeping hati yang ia miliki.

Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati.Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung. Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah:

" Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah."
Di dunia lagi bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya.

Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu.

Ibarat bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak kekal. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.

Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki `perhiasan' sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Seorang wanita yang hatinya jauh dari Tuhan masih mampu menjadi perhiasan dunia yang digilai oleh segenap lelaki. Kecantikan dan lentoknya menjadikan hati lelaki tunduk semahu-mahunya sehingga sangggup berkorban segala-galanya-sutau perhambaan yang tersirat. Terpenjaralah hati kaum Adam yang memilih perhiasan`palsu' ini.

Hati menjadi sempit dan di akhirat terseksa tanpa batas!

Wanita boleh memilih untuk menjadi `bunga sejati'. Wanita solehah yang membawa ketenangan. Wanita juga boleh memilih untuk menjadi `bunga plastik'. Wanita yang mengundang kemelut, kacau bilau dan kehancuran. Kita sentiasa ada pilihan… maka pilihlah. Kita hanya akan layak menjadi `bunga sejati' jika hati tunduk kepada Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan tidak pernah memaksa. Dia tetap agung walaupun kita sebagai hamba terus derhaka…Maha suci Allah yang telah memuliakan kita sebagai wanita. Daripadanya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:
"Hendaklah kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang itu ialah yang di sebelah atasnya; apabila kamu mahu meluruskannya patahlah ia, dan sekiranya kamu membiarkannya kekallah ia dalam keadaan bengkok. Oleh itu tolonglah kamu nasihati para wanita dengan sebaik-baiknya"
(Riwayat Bukhari, Muslim dan abu Hurairah)"

6.3.10

.: BicaRa Hati iNi :.



Aku ingin menjadi bunga segar
Yang mekar mewangi di taman
Ingin dipagari duri-duri tajam
Agar tiada yang berani menyentuh
apatah lagi mendekati Tanpa sebab yang menghalalkan.

Aku ingin berasa aman
Dalam indah taman
Tenang tanpa gusar, Gembira tanpa hiba
Aku ingin sentiasa dihujani rahmat Tuhan
Ingin diiringi keredhaanNya
Dipayungi bawah awan lindunganNya
Agar selamat daripada panahan syaitan
Agar sejahtera daripada fitnah duniawi.

Tapi.. tatkala ini jiwa telah gelora
maka iman turut terkocak gelombang
Setibanya teguran Tuhan aku tersentak
Baruku sedar keseronokan, keindahan dan kebahagiaan yang aku kecapi
Terpesong dari landasan syariaatNya..

Lalu.. jiwa ini meronta saban hari
Minta dibebaskan daripada belenggu dosa noda
Sesaat tak terpadam ingatan dosa lalu
Yang makin menimbun dalam catatan amalku

Terbit nur insaf dari hati yang mulus
Syukur Tuhan masih menyayangi
Mujur tak tercampak ke lembah hina dan berlarutan dalam dosa
Ku yakin di langit sana masih luas terbuka
keampunan dan keredhaan rahmatNya..

Dan sekali lagi ku utuhkan azam
Aku ingin menjadi bunga segar
Yang mekar mewangi di taman
Menanti hadir insan selayaknya
Memetikku menjadi perhiasan hidupnya....

.: 7 PetuNjuk KebaHaGiaaN :.



Perkahwinan harmoni dikecapi menerusi kesungguhan pasangan memperoleh ilmu rumahtangga. PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk di akad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga yang dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21)

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan yang diharapkan tidaklah semudah seperti yang diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada. 

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumahtangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian.

Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan. Perbezaan juga boleh lengkap melengkapi, sokong menyokong dan bantu membantu dalam pembentukan mahligai kasih yang diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74) 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah) Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas. Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia. Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu: 
1. Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan dengan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi." 
 
2. Pasangan hidup yang soleh - Pasangan hidup yang soleh akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang soleh dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredhaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang solehah, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri solehah.
    3. Anak yang soleh - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah redha kepadamu, kamu anak soleh anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu." 
    4. Suasana yang kondusif untuk iman kita - lingkungan yang kondusif ialah suasana sekeliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang soleh yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang soleh adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. InsyaAllah cahaya itu akan turut menyinari orang yang berada di sampingnya.
5. Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan daripada hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya. 
6. Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.       7. Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak nostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh berharap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti yang dijanjikan Allah.
RENUNGAN BERSAMA....