27.3.11

Jangan Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita!

video


Ramai orang...
tersalah sangka tentang maksud ketenangan dalam hidupnya
Selalu orang mengaitkan ketenangan itu dengan faktor harta...
Dengan faktor kekayaan...
Walaupun itu boleh menjadi penyumbang...
Tetapi itu bukan segal-galanya
Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar...
Tidur di atas katil yang empuk
Tetapi dia tidak enak atau pun lenanya tidak nyenyak
Bahkan ada orang yang tidur di pondok buruk...
Kadang-kadang dia lebih lena berbanding kita
Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat...
Lauk pauk yang bagus...
Tetapi lidahnya tidak enak...
Lebih enak lagi orang yang makan kadang-kadang dengan satu dua mata lauk...
Tetapi dia lebih sedap & selesa makannya

Kata Hamka, lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat
Semua orang sangka kalau orang itu ada rumah besar...
Ada makanan yang sedap...
Tentulah hidupnya bahagia & tenang
Belum tentu...
Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang...
Dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun...
Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang...
Dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun...
Jika Allah uruskan urusan kita...
dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita...
Walaupun sekelip mata...
dunia boleh berbuat apa-apa...
tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah
Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas...
kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah
Apa yang orang rasa rugi...
Allah akan memberikan keuntungan...
yang mana jalan-jalan yang manusia tidak sangka
Tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan...

Tengoklah dunia ini...
kadang-kadang manusia dia hilang sesuatu benda ini daripada dunia...
kadang-kadang macam dia hilang segala-galanya
Berapa banyak dalam hidup kita telah melalui keperitan hidup?

Cuba ingat!
Ketika kita kena keperitan, kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya
Tapi hari ini Allah telah keluarkan, kita berada dalam keadaan yang baik
Ketika kita ditimpa musibah tertentu...
Kita kata, "Habislah aku kali ni!"
Tapi usia kita telah berjalan
Kita masih lagi hidup & makan & menikmati kurniaan kehidupan ini
Ketika kita kata...
"Ya Allah! tolonglah aku, ya Allah! tolonglah aku, aku susah ya Allah!"
Hari ini kita pun telah lupa akan perkataan itu
Dan kita pun lupa kadang-kadang untuk bersyukur...
di atas pelbagai ranjau hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya
Orang-orang yang diberitahu kepada mereka...
"Nun orang ramai sedang berkumpul untuk ambil tidakan kepada kau"
"Nun orang nak ambil tindakan kepada engkau!"
Kata Allah, iman dia bertambah
Bukan kita kata, "Pasal apalah Allah benci aku? Apalah dosa aku?"
Tidak...tidak!
Kata Al-Quran, iman mereka bertambah
Mereka kata...
"Cukuplah bagi kami Allah, Dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan"

Pengalaman sering mematangkan kita...
Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya
Orang-orang yang pernah hidup & bertawakkal...
dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakal
Bila hati insan bulat kepada ya Rabb...
"Ya Allah! aku serahkan urusan ini kepada Mu Ya Allah"

Kita sering lupa kita masih punya kehidupan di Akhirat...
Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat...
dia akan merasakan dunia ini sangat kecil
Kehidupan ini sangat luas
Nabi SAW sebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim...
Allah bawa pada hari akhirat, manusia yang paling derita dalam dunia ini...
saya tak tahu manusia paling derita di dalam dunia ini
Allah ambil dia,Allah masukkan dia ke dalam syurga...
dia dimasukkan dicelupkan masuk ke dalam syurga...
kemudian dia dikeluarkan...
lalu ditanyanya...
"Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup?"
Dia kata, "Tak! Aku tak pernah derita pun dalamhidup ini"
Hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, lupa cerita derita
Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam sunia ini
Segala yang nikmat Allah masukkan dia secelup sahaja ke dalam neraka...
Lalu dikeluarkan dia...
"Pernahkan kau merasai nikmat dalam hidup ini?"
Dia kata, "Tak! Aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini"
Hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka...
manusia lupa segala kisah nikmat dalam hidupnya

Masihkah kita teringat akan mikmat yang Allah berikan selama ini?
Kita selalu tak bersyukur kalau kita diberi benda baru...
dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini...
suatu nikmta yang besar

Satu hamba Allah...
yang patah kakinya...
yang dia tidak pernahpun sebut...
dulu barangkali tak pernah teringat tentang nikmat kaki yang setiap hari dia pijak
Tapi apabila satu hari dia sakit kaki...
Dia kata, "Ya Allah, bagilah balik kakiku, sembuhlah balik!"
Dia tahu betapa besarnya nikmat kaki, nikmat tangan, nikmat sihat
Kata Hamka, "Yang ada ini sudah harapan kita"
Yang kita ada ini harapan kita
Tetapi insan...
Bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada...
Tetapi jangan lupa yang telah ada...

Bersyukurlah wahai diri ini...
Sebahagian para sarjana menyebut...
Syukur kadang kala lebih tinggi makamnya daripada sabar
Ramai orang terpaksa sabar...
tapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur
Bila dia susah, nak kata apa?
"Sabar je lah, nak buat apa"
Tapi untuk jadikan orang yang memiliki harta
syukur di atas nikmat...
"Ya Allah, apa sahaja yang aku alami...
Daripada nikmat-Mu daripada kurniaan daripada sesiapa di kalangan hamba-Mu...
Tidak ada daripada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan...
Bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran"

Subhanallah!

Insan, jika dia nak bersyukur kepada Allah, tak terdaya...
"Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu"

Bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan...
Kita akan merasa masyaAllah hidup ini...
Apa yang Allah kurniakan kepada kita...
lebih daripada harapan kita sebenarnya
Sekiranya kita ingat dari hari kita dilahirkan...
tempat kita dilahirkan...
rumah kita dilahirkan...
sehingga tempat kita ada pada hari ini...

MasyaAllah!

"Ketika orang-orang yang kafir itu mengeluarkan dia...
ketika dia salah seorang daripada dua; dia & Abu Bakr...
ketika mereka berada di dalam gua (sewaktu peristiwa hijrah)...
ketika dia berkata kepada sahabatnya...
JANGAN BERSEDIH, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA!

~ Dr Asri Zainul Abidin ~

.: Melagukan Bacaan Al-Quran :.




Hadith:
Dari Abu Hurairah r.a bahawa dia mengatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:” Tiadalah keizinan Allah untuk mengerjakan sesuatu yang dapat menyamai izin-Nya kepada nabi s.a.w untuk melagukan bacaan al-Quran.”
(Muslim)

Huraian:
Adat manusia menyukai akan seni lagu walaupun mempunyai selera dan rentak yang berbeza. Lagu dan irama biasanya dapat memberi keselesaan kepada perasaan manusia yang mendengar. Membaca Al-Quran dengan tartil atau memperelokkan bacaannya dengan lagu atau tajwid adalah sangat-sangat dituntut dalam cara membaca al-Quran, kerana tujuan utama membacanya ialah memikirkan maksud-maksudnya. Cara membacanya dengan tartil akan dapat menolong memahami maksud-maksudnya. Sebab itu Ummu Salamah r.a. ketika membaca al-Quran sering mencontohi bacaan Rasulullah s.a.w dan membacanya seolah-olah ia sedang mentafsirkan huruf demi huruf dari al-Quran itu. Oleh itu orang yang sentiasa membaca al-Quran dengan baik dan sempurna akan mempunyai hati dan jiwa yang lembut kerana ia memahami tentang ayat-ayat yang berunsur ancaman dan kecaman serta janji-janji Allah yang terkandung dalam ayat yang dibacanya itu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

25.3.11

.: Mari Beramal :.




Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut.

Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;


1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.


Keberuntungan beramal dengan doa ini:

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.  

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

-DARUSSYIFA'

.: Kitab al-Quran 500 tahun dipamerkan di Internet :.


   Kitab al-Quran berusia sekitar 500 tahun disimpan dalam Perpustakaan John Rylands di Manchester, Britain.

LONDON - Satu manuskrip antara naskhah al-Quran paling penting dan jarang dilihat di dunia akan dipamerkan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.


Kitab suci tulisan tangan itu yang dianggarkan berusia sekitar 500 tahun, amat berharga dan rapuh sehinggakan para ilmuwan tidak dapat meletakkannya untuk dipamerkan.

Setiap helaian daripada 470 muka surat kitab itu yang berukuran 88x60 sentimeter, menyamai saiz skrin televisyen plasma besar dan ia disimpang di Perpustakaan John Rylands, Universiti Manchester, Britain.


Kini, pakar-pakar di perpustakaan berkenaan menggunakan teknologi digital untuk merakamkan setiap muka surat dan menyiarkan kitab suci itu di Internet bagi membolehkan para ilmuwan dan pelajar mengkajinya.

Kitab al-Quran itu dipercayai berasal dari perpustakaan Kansuh al-Ghuri, Kaherah, Mesir dan disimpan pada zaman dinasti terakhir Mamluk.

Ia dibeli oleh pihak pengurusan Perpustakaan John Rylands pada 1901 sebagai sebahagian daripada koleksi artifak Earls of Crawford. 

- Agensi

.:: Jin pun terpesona dengar bacaan al-Quran daripada Rasulullah S.A.W ::.


Firman Allah SWT bermaksud: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah az-Zariyaat, ayat 56)

Begitu penegasan Allah dalam al-Quran mengenai tujuan-Nya menciptakan jin dan manusia, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah Yang Maha Esa. Golongan jin dan manusia terbahagi kepada dua, iaitu Islam dan kafir. 

Jin menyatakan keIslaman mereka yang diterangkan dalam al-Quran surah Jin bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad): Sudah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin sudah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran yang susunan (ayatnya) dan kandungannya sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.” (Surah Jin, ayat 1-2) 

Peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW bersama sahabat sedang melaksanakan solat Subuh. Ketika itu Baginda membaca surah ar-Rahman, ayat 1-78. Dalam surah ar-Rahman ini ada beberapa ayat yang bermakud: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?”

Ketika ayat ini dibacakan, jin yang hadir saat itu langsung menjawabnya dengan kalimah: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami tidak mendustakan nikmat-Mu sedikit pun. Segala pujian hanya bagi-Mu yang sudah memberikan nikmat zahir dan batin kepada kami.”

Ibnu Masud menyatakan bahawa ia turut menyaksikan malam turunnya ayat Jin ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi juru dakwah daripada kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya dan aku bacakan al-Quran kepada mereka.”

Peristiwa ini terjadi di sebuah masjid yang terletak di Kampung Ma'ala, tidak jauh dari perkuburan kaum Muslim di kota Makkah. Kini masjid itu dinamakan Masjid al-Jin atau Masjid al-Bai'ah atau juga Masjid al-Haras. Ia dibaik pulih kembali pada 1421 hijrah. Di sini jin berbai'ah atau menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah SAW untuk beriman kepada Allah SWT dan al-Quran.

Ada mengatakan, di masjid itu Nabi SAW mengislamkan jin kafir. Ada juga menceritakan, dekat Masjidil Haram ada sebatang tiang dinamakan tiang jin. Ketika Masjidil Haram sedang dibina, tidak cukup sebatang tiang, kemudian jin mendatangkan sebatang tiang dari alam mereka. Mereka yang boleh jumpa tiang ini mungkin boleh nampak alam jin. Ada yang khurafat memeluk tiang jin ini ketika orang lain wukuf di Arafah kononnya untuk menjadi tuan jin.

Masjid Jin menjadi monumen terpenting antara Rasulullah dan jin. Diterangkan, jin ketika itu bercadang menuju Tihamah. Namun, mereka mendengar bacaan al-Quran. Mereka sangat takjub mendengarnya dan kemudian berdialog dengan Rasulullah, lalu menyatakan keimanan mereka. Kemudian mereka menyampaikan hal itu kepada jin lain.

Ketika Rasulullah sedang membaca ayat al-Quran, terdapat beberapa jin. Ssebahagian riwayat menyatakan jumlahnya ada sembilan jin dan sebahagian lain menyebutkan tujuh jin yang turut mendengarkan bacaan al-Quran daripada Rasulullah. Kemudian salah satu daripada jin itu mengingatkan temannya dan berkata: “Diamlah, perhatikan bacaannya.” Setelah itu mereka kembali kepada kaum mereka untuk mengingatkan pada jalan yang benar. Salah satu daripada jin itu bernama Zauba'ah. Demikian menurut Ibnu Masud.

Dalam kitab Fathul Bari, disebutkan, jin itu berasal dai Nasibain, iaitu sebuah daerah yang terletak di perbatasan antara Iraq dan Syria, iaitu dekat Mosul.
Jin terbahagi dua iaitu jin kafir dan jin Islam (mukmin). Jin yang beriman ditempatkan di syurga, manakala jin kafir ditempatkan di neraka. Rasulullah menggambarkan jin itu terbahagi tiga golongan iaitu yang boleh terbang di udara, golongan ular dan anjing serta golongan bermukim dan hidup berpindah-pindah. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi Dunya, dalam Maqasid as-Syaitan)

Seperti manusia dan haiwan, jin juga makan dan minum, berkahwin, beranak serta mati. Menurut Syeikh Abdul Mun'im, jin penghuni dunia yang hidup di tempat sepi daripada manusia dan di padang pasir. Ada jin yang hidup di pulau di tengah laut, di tempat sampah dan bersama manusia. Jin memiliki kemampuan yang tidak dimiliki manusia, seperti terbang, naik ke langit, mendengar apa yang tidak boleh didengar manusia dan mereka juga melihat apa yang tidak dapat dilihat manusia. Wallahualam. 

- BERITA HARIAN