9.4.11

Kehebatan Ayat Kursi



Ada satu cerita,
tentang tauladan untuk dijadikan bekalan...

Suatu malam di sebuah lorong gelap di sebuah negara Barat. Seorang gadis Muslim baru pulang dari kelas pengajiannya di salah sebuah universiti terkemuka di sana. Usai selesai pengajian, gadis itu bergegas pulang.  Dia bukan sengaja mahu pulang lewat, tetapi disebabkan faktor tertentu, menjadikan beliau begitu terpaksa.

Tiba di lorong menghala ke  apartmentnya, gadis tersebut tergamam. Sunyi, sepi, lengang dan gelap gelita. Tiada apa yang dapat menjadi penghias mata, melainkan hanya ada sedikit cahaya lampu yang sekadar menandakan lorong tersebut adalah sebatang jalan. Perasaan risau, takut dan bimbang menyelinap hampir ke seluruh urat saraf, memenuhi setiap pembuluh darah yang ada ditubuhnya. Khuatir kerana memikirkan dirinya adalah seorang perempuan yang sedang bersendirian.

Namun gadis itu tetap melangkahkan kakinya melalui lorong gelap yang sunyi itu, tekad kerana kalau ditunggu tanpa sebarang tindakan, tidak akan berhasil apa-apa. Lagipun malam pula semakin tua..

Tiba-tiba, gadis tersebut terkejut bukan kepalang, kerana tidak jauh darinya ada seorang pemuda Inggeris yang sedang menanti di hadapan. Menanti siapa, entah. Lelaki tersebut kelihatan sedang berdiri, bersandar di dinding lorong dengan kepala yang tertunduk ke bawah. Dengan suara yang seakan mendengus, kakinya menguis-nguis tin minuman kosong yang ada dihadapannya. Gadis itu berkira-kira untuk lari, tetapi bila menyedari kudratnya tidak mampu untuk berbuat demikian. Langkahnya seakan mati, lututnya seperti ditambat dengan tali. Bertambah risau bila memikirkan sekiranya lelaki tersebut sememangnya sedang menunggu mangsa untuk diratah-ratah. Negara Barat memang terkenal dengan jenayah kelas satu. Ramai mafia-mafianya, mengalahkan pihak berkuasa.Gadis tersebut menangis ketakutan..

Allah swt itu Maha Pemurah dan Penyayang. Terlintas di hati gadis tersebut untuk berdoa memohon pertolongan Allah. Teringat kata-kata ustaznya sewaktu di sekolah menengah dulu ketika ustaz itu berkata, " Jika kamu berada dalam keadaan resah gelisah, takut kerana ada musibah yang bakal menimpa, bacalah ayatul Kursi, kemudian bertawakkallah kepada Allah, insyaAllah, kamu akan selamat". Dengan cepat, gadis tersebut membaca ayat Kursi dan berdoa kepada Allah swt mohon diselamatkan daripada sebarang malapetaka.

Dengan keadaan tubuh yang masih bergetar, gadis tersebut meneruskan langkah. Langkah demi langkah dan terus berjalan sehingga melewati lelaki tersebut. Syukur...tiada apa pun yang berlaku, sehinggalah beliau sampai ke apartmentnya. Dia menarik lafaz lega, seraya mengucapkan Allhamdulillah...

"Ah! fikiranku saja barangkali. Memikirkan yang bukan-bukan. Lelaki Inggeris tadi sebenarnya memang melepak di situ". Bisik hati kecilnya. Bingkas bangun dari sofa menuju ke bilik air untuk khidmat diri sebelum tidur. Usai selesai, gadis tersebut menutup lampu untuk melelapkan mata. Sebentar saja, dia pun terlena. Bertemankan kepenatan.Hanyut dalam malam yang semakin tua..

Keesokkan harinya, selepas solat subuh, gadis tersebut menghidupkan suis televisyen untuk menonton buletin pagi seperti yang biasa dia lakukan saban hari. Televisyen kecil tersebut adalah hadiah daripada seorang kenalan ayah yang kebetulan sedang bercuti di negara ini. Teruja mengetahui anak kawan baiknya berjaya melanjutkan pengajian di sini, lantas dibelikan televisyen kecil sebagai hadiah dan ucapan tahniah sewaktu datang menziarahinya sedikit masa dulu. Walaupun bukan tv berwarna, dia tetap bersyukur. Siapa yang hatinya tidak gembira bila mendapat sesuatu yang berharga secara percuma.

Dengan menonton berita, dia akan dapat mengetahui isu-isu terkini dan itulah yang akan dijadikan bekalan ke kampus sebagai modal untuk memulakan perbualan dengan rakan-rakan sekuliah. Di kaca telivisyen kecil itu, rancangan buletin sedang ke udara. Dengan penuh perhatian, dia menumpukan pandangan ke arah skrin tv hitam putih itu sambil menadahkan telinga.

Alangkah terkejutnya apabila berita utama memaparkan kes seorang gadis yang juga merupakan pelajar di universiti yang sama dengannya telah diperkosa, diliwat malah dibunuh!. Dia semakin bertambah terkedu apabila gambar di kaca tv turut memaparkan wajah si penjenayah yang disyaki melakukan perbuatan yang sangat kejam dan tragis itu saling tak tumpah seperti lelaki yang menunggu di lorong gelap yang sunyi semasa dia melalui lorong tersebut. Ya! memang lelaki itu!..Dia mengucap panjang menyebut nama Allah, Tuhan yang Esa. Bersyukur kerana diselamatkan daripada malapetaka malang tersebut. Air matanya menitis...

Bersambung...

No comments:

Post a Comment